Monday, January 12, 2015

Dua-harian Di Melaka



HARI 1




Lama ta hapdet entry. Moh kita mulakan tahun baru dengan cerita lama. Kekeke. Tak sempat nak publish dia on taim.


18hb Disember, guwa mula bercuti study week (study laa sangat) selama seminggu. Kebetulan pulak saing cuti dengan adik aku, tu yang rasa perlu ada satu plan bercuti-cuti Malaysia supaya cuti lebih bermanfaat. Kekeke.


Maka, setelah difikir hampir empat-belas-hari-empat-belas-malam, ayah buat surprise ajak pergi Melaka. Ececeh surprise konon, padahal kitorang yang paksa ayah bawak kitorang pergi Melaka. Rancangan awal nak pergi ke sana selama 3 hari 2 malam. Tapi, manusia hanya mampu merancang, kan? Jadinya, rancangan percutian dipendekkan kepada 2Days 1 Night. Acah-acah feeling Kpop Star bila mention 2Days 1Night. Hahaha.


Itupun, kitorang gerak lewat dari JDT sebab ibu ayah nak settle urusan mereka terlebih dahulu. Tang tu tang ni, geraklah pukul 10pagi. Terasa lama pulak perjalanan dari Batu Pahat ke Melaka. Padahal selalu bila on the way balik kolej, rasa sekejap je dah sampai KL. Hishh. Aku sempat membuta berlama-lama-lama sampai tak tahulah berapa lama. Walaupun aku rasa aku membuta macam dah berjam-jam masih tak sampai-sampai lagi. Apa beno jauh ke sangat Melaka ni?


Lepas aku mencarut dua tiga kali, menengok jam berpuluh kali, bermenung berkali-kali, akhirnya nampaklah signboard Ayer Keroh. Ayah suruh on Waze, cari lokasi Bustel Klebang. Kau tau, taim ni lah tenet buat pasal. Eh, boleh pulak dia tak dapat detected henfon aku. Ewah-ewah. Ayah apalagi, hangin satu badan dengan aku. Apasal pulak aku, aku tak bersalah. Tapi, ada aku kesah? Aku hati kental, beb. Kekeke. Setelah aku acah-acah Master dalam Pembodekan Aplikasi Yang Cari Pasal Dengan Aku, berjayalah jugak satelit detected kereta kitorang yang dah menjajo jauh dari jalan kebenaran. Eh!


Bustel Klebang yang terletak di tepi Pantai Klebang, Melaka boleh dikatakan unik sebab kat sini bas-bas lama dijadikan chalet. Sebuah bas menyediakan dua bilik dengan kadar sewa RM100++ untuk satu bilik. Bayangkan betapa uniknya kawasan ini, sampaikan kedai makan dengan tandas pun dalam bas. Menu femes kat sini adalah Coconut Shake. Sampai beratur orang semata-mata nak beli Coconut Shake. Kami terkecuali lah sebab ada hal lagi penting nak dilakukan. Kat kawasan ni jugak terletaknya Muzium Kapal Selam yang kami tak sempat pergi sebab nak cari hotel lain.


Mula-mula ayah dah booking satu bas kat situ untuk penginapan kami sekeluarga. Tapi, tempat ni jauh dari kawasan bandar, sedangkan kami bercadang nak menjelajah laa sangat tempat-tempat bersejarah yang letaknya di bandar. Sebab tu lah kami membatalkan booking di Bustel tu. Lepas ambil gambar lapan sembilan keping selcam kemudian berpatah balik ke kawasan bandar, menempuh kesesakan yang macam-kau-tak-percaya-sebab-hari-tu-hari-bekerja, akhirnya dapatlah kami check-in di Hotel Mutiara, kira hotel budget tapi selesa untuk kitorang buat tempat rileks. Ala, bukan nak menetap terus pun kan? Kira beruntung sebab dapat hotel yang dekat dengan tempat-tempat bersejarah kat Melaka. Dapat diskaun lagi kau. RM200 untuk dua bilik. Memang terbaik.


Dah namanya dekat, berjalan kaki je lah walaupun gerimis di petang hari. Kami pilih tempat-tempat yang cliche macam orang lain jugak. Nak tengok dengan mata kepala sendiri tempat ni. Sepanjang 20 tahun aku hidup, nilah pertama kali jejak kaki secara tepat, nyata dan jelas di bumi Melaka. Tempat pertama yang kami pergi mestilah Muzium Tiga Serangkai iaitu Muzium Samudera 1 (yang Replika Kapal tu), Muzium Samudera 2 (yang betul-betul sebelah replika kapal) dan Muzium TLDM.


Muzium Tiga Serangkai ni nak masuk guna satu tiket je. So, kalau nak pergi muzium-muzium ni, mulakan rancangan anda dengan melawati Muzium Samudera 1 terlebih dahulu untuk dapatkan tiket. Muzium Samudera 1, lebih memperincikan kepada sejarah awal Melaka, bermulanya perdagangan dan penjajahan di negeri itu. Untuk aku, aku lebih feel kepada bentuk kapal tu. Plus aku bayangkan sekali betapa gerunnya aku kalau aku berada dalam kapal tu taim tengah berlayar di lautan. Dengan ombak yang menggila, kapal besar yang teroleng-oleng…fulamak, teringat masa naik feri pergi ke Pulau Langkawi!


Muzium Samudera 2 atau Muzium Maritim pulak mempamerkan maklumat mengenai hidupan-hidupan laut, teknologi penangkapan ikan dan sebagainya. Nama pun maritime kan, ala-ala dalam kapal selam pun ada bila masuk muzium ni. Aku suka dengan satu tingkap dalam muzium ni yang menghadap Sungai Melaka. Cantik sungguh pemandangannya. Subhanallah!


Aku paling suka dengan Muzium TLDM. Masuk-masuk je mata kau mesti terpaku pada helikopter yang ada kat bahagian tengah muzium. Muzium ni aku rasa lagi kecik berbanding dua muzium lain tu tapi reka bentuk susun atur dalam muzium ni menjadikan dia luas dan banyak bahagian. Uniform tentera, alat-alat yang digunakan dalam kapal dan sebagainya ditunjukkan dalam muzium ni. Di luar muzium pulak, ada replika kapal laut TLDM yang boleh kau masuk, feel sendiri keadaan dalam tu dan berselcam enam tujuh keping. Taim ni gerimis makin lebat tapi belum hujan lagi. Tapi, kalau nak meredah lagi, boleh basah lencun baju. Memang dah basah pun baju taim masuk muzium-muzium ni. Apadahal? Nikmat jugak. So, ayah ajaklah gerak pergi tempat lain.


Sempat jugaklah kitorang menyusup masuk dalam Medan Samudera, berhadapan dengan Muzium TLDM ni. Tempat shopping cenderamata, baju, makanan dan sebagainya. Tak kanlah kau nak cari belacan dalam Mahkota Mall dekat Dataran Pahlawan tu pulak kan? Memang-memanglah kau kena baling selipar dengan pak gad kang. Ibu beli belacan, adik aku rembatlah magnet peti sejuk. Dah jadi habit kitorang sekarang ni pergi mana-mana mesti cari magnet peti sejuk. Memang aku ada baca pasal keburukan dia tu, tapi….hmmm. Hehehe. Keluar dari medan ni, gerimis dah macam hujan dah. Tapi, mengenangkan bukan senang nak datang ke sini sekeluarga, gerimis ke hujan ke letak tepi. Jalan mesti diteruskan. Eh!


Aku berminat nak pergi Muzium Islam dengan Muzium UMNO Melaka, tapi dah gerimis macam ni takpelah. Dah simpan hasrat nak datang lagi ke sini lagi. Dah tu, kitorang rancang naik Menara Taming Sari yang super femes kat Melaka tu. Hah, eloklah kalau bawak Mycard sekali boleh dapat murah sikit harga tiket. Sebut pasal menara ni, aku kalau jumpa orang yang beria-ia cerita menara ni kalau naik ke atas laju je, kalau turun mendadak ke bawah, memang aku hempuklah. Poyo je cerita. Naik menara ni dapatlah tengok panaroma sekeliling. Nampak kereta, kapal, bangunan macam mainan lego.


Oke, elok aje aku turun ke bumi, hujan mula mencurah-curah. Maka, berakhirlah rancangan hari pertama di sini. Menangok lah dalam bilik tunggu hujan teduh. Nasib sebelum masuk bilik, dah sempat ngeteh. Kenyang.


Bersambung...