Sunday, January 26, 2020

Kadet PTD: Group Integration

안녕하세요!

Alhamdulillah 19 Jan 20 haritu, aku secara rasminya bergelar peserta Diploma Pengurusan Awam (DPA) INTAN 2020 atau nama glamer bagi kami adalah kadet. Sesi pendaftaran tiada masalah selagi kau sediakan segala apa yang diminta dengan lengkap. Dan aku dapat INTAN Bukit Kiara gaiss!

20 Jan 20, modul Group Intergration (GI) bermula bagi kadet 2020. Puas INTAN rahsiakan lokasi modul, sekali tu pihak kem lokasi tu yang pecah lubang. Hahaha. So, pagi-pagi buta kami bergerak ke Melaka untuk memulakan GI kami.

Aku dah sediakan barang ke GI ni awal-awal sebab I orang jauh okayyy. Tapi haritu taknak kongsi dulu, sebab aku nak bagi gambaran sebenar barang apa yang diperlukan dan korang bolehlah agak barang yang korang perlu bawak untuk GI ni.

Untuk 3 hari 2 malam di Kem Lambaian Danau, Melaka, aku sediakan satu beg yang tak sampai 30L pun. Sebab menurut keyakinan aku, kem ini mesti pack, bawak baju banyak pun macam tak function. Malah, INTAN pun ada bagi senarai semak yang boleh dijadikan panduan. Jadi memang kecik je beg aku berbanding orang lain. Hewhew.
  • 2 tshirt hitam microfiber lengan panjang (RM14.90/helai kat Shopee)
  • 2 tshirt navy microfiber lengan panjang (RM14.00/helai kat Shopee)
  • 1 tshirt warna bebas microfiber lengan panjang 
  • 4 tracksuit hitam (yg cepat kering, bukan sweat pants, bukan jogger pants) (2 helai RM40, lagi 2 helai memang dah ada) 
  • 3 tudung 'perang' warna hitam. Okay, tudung sarung sebenarnya. (RM10/helai)
  • 3 helai stokin hitam (RM2.10/3 helai kat Ninso)
  • 1 kasut sukan (RM10 kat AeonBig)
  • 1 water shoes tapi aku bawak je rubber shoes yang aku beli kat Mr Diy (RM9)
  • 1 tuala microfiber sebab nak cepat kering (RM11.90 kat Mr DIY)
  • 1 kain basahan
  • Sunblock
  • Toiletries
Di akhir kem, aku masih ada bawa balik pakaian bersih iaitu 1 navy, 1 bebas, 2 seluar, 1 tudung, 1 stokin. Program di kem sangat pack dan mungkin stail aku jugaklah, aku akan minimize kan baju basah yang akan aku bawak balik. Sebab tu, aku masih ada baju bersih lagi.

Dalam kem, keluar masuk air tu perkara biasalah. Kem ni dikelilingi tasik jadi memang aktiviti air lah banyak buat kat situ. Aku kena tolak dan paksa terjun dari tebing masuk air, terjun 15 kaki lepas tu. Huhu, timbul je kat air aku bersyukur aku hidup lagi. Dan aku sedar yang aku memang gayat rupanya. Aku ingat sekadar takut naik roller coaster je. Pernah nampak orang taf menggeletar tepi tebing dan platform tinggi? Haa, taim tu aku tayang dah. Kah!

Terjun tiruk gini gais! Baik tak terkejut lemak aku.
Ni gambar lepas aku berjaya cecah tebing. Bangga sikit sebab aku berjaya overcome ketakutan aku.
Tapi aktiviti merakit, berenang menyamar jadi ikan tu semua aku tiada masalah. Sebenarnya, atas bantuan Tasha jugaklah masa kat Tioman bulan 3 tahun lepas, dia ajar aku guna life jacket dengan betul. Masa tu, untuk aktiviti snorkelling. Jadinya untuk aktiviti macam ni, aku takde lah terlalu takut tapi takde pulak terlalu yakin. Dan hasilnya, muscle lengan aku dah naik. Aku tinggal train untuk tinju orang dengan lebih baik je lah sekarang ni. Hahaha.

Penat memang penat sampai masa terapung tu aku sempat terlelap. Sebab tu burn lebih. Kehkeh! Ni semua pengalaman aku untuk bukak hati aku terima teammates baru dengan lebih cepat dan in tough way. 

Sampai pencen lah kang kita mencari sesama kita ni nanti ye monyet sekalian.
Macam kasar pulak aku panggil diorang monyet gitu. Tapi kitorang memang group monyet dan batch kali ni, untuk GI ia bertemakan animal kingdom. Kehkeh! Cuma lepas rename, monyet tu jadi Chimp Champ lah. Begitulah kisah GI aku dan seminggu telah pun berlalu.

Another 43 weeks to go. Siapa yang janji dengan aku sampai tempoh grad aku, be ready hah. I'm on the way to claim everything promised tau.

Dah.
Babai.
Be good, do good, stay good! Take care.

Friday, January 10, 2020

PTD: DIPLOMA PENGURUSAN AWAM

안녕하세요!

Okay gaiss, aku nak sambung mengarut lagi. Janji ni last untuk tarikh 10hb ni.

Lepas habis 4 peringkat perjalanan dalam roadmaps jawatan PTD M41 ni, jangan anda terus ingat anda dah boleh bersemangat untuk berkhidmat kepada negara tercinta ini. Belum lagi yam, belum. Perjalanan masih jauh.
Ni lah dia roadmaps bagi PTD M41. Panjang kan? Harap sentiasa bersemangat! (Sumber: Portal SPA)
Lulus temuduga terakhir tu adalah untuk melayakkan kau mengikuti program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) selama 10 bulan. INTAN yang terlibat untuk DPA ni ada 2 tempat iaitu INTAN Bukit Kiara dan INTAN Jalan Elmu. Aku harap aku dapat Jalan Elmu. Sebab belakang UM. 

Dalam INTAN ni kira ikut kursus lah untuk menjadi PTD, sebab tu calon yang berjaya ditawarkan DPA ni dipanggil kadet. Dalam tempoh 10 bulan ni, kadet akan menjalani pelbagai modul akademik dan latihan fizikal yang mencabar tapi menyeronokkan bak kata senior. Memang tidak dilupakan lah kenangan-kenangannya.
Trademark Bukit Kiara. First time jejak kaki di sini pada 07 Dis untuk sesi taklimat pertama.
Untuk modul fizikal atau Modul Integrasi Nasional nama sebenarnya ni, kadet berpeluang merasai pengalaman menjalani latihan Polis, Bomba dan Askar. Ni pengalaman paling mahal dan aku harap aku bertahan sampai ke penghujungnya memandangkan aku tak pernah terlibat dalam badan beruniform sebegini kerana zaman sekolah aku, aku hanyalah ahli Puteri Islam sejatehh dan Pengakap Kelana celup. Hingga adik-adik aku si ahli PKBM  tegar cukup-cukup risau dengan aku, hari-hari bagi poin; "Kak, tangan kena kuat, kak. Kak, buat je walau rasa tak boleh buat".

Jadi untuk kadet awam macam aku, modul fizikal ni buat aku super nervous. Ni kalau aku sembang dengan pak soljar pasal modul ni, memang kena gelak je. Setakat celah gigi. Tapi aku memang letak dalam mindset, aku pergi kursus askar supaya mental aku letak expectation selayaknya kursus askar tu macam mana. Biar mental aku bersedia dan fizikal aku tak terkejut.

Sepanjang 10 bulan itu kau akan dinilai dan kau perlu juga prepare kem mana yang kau nak join nanti. Sebab ada temuduga terakhir untuk penempatan kem yang akan kita berkhidmat - kem yang femes mesti banyak persaingan dan temuduga nya slightly taf banding kem lain. Tapi, kem mana-mana pun sama je, tetap beri peluang debut terbaik untuk menjadi PTD.

Setakat 10hb ini, aku belum lagi mendaftar masuk INTAN dan masih lagi melengkapkan segala dokumen apa yang perlu aku lengkapkan. Perasaan tu macam biasa, semua berlumba-lumba ajak geng nak lepak dalam kepala aku. Maka dengan itu, entri thread PTD aku akan berakhir di entri ini. Tapi aku tetap berminat nak kongsikan modul-modul sepanjang bergelar kadet. Oleh yang demikian, aku mengharapkan agar korang dapat turut mendoakan aku menghabiskan perjalanan sebagai seorang kadet dengan jayanya.

Punya waktu, punya kesempatan pasti aku akan kongsikan segalanya di sini. Jika tidak di entri baru, aku akan monitor mana-mana yang memerlukan bantuan aku di blog ini. Terima kasih banyak kalian yang sudi bersama aku semenjak dulu dan bertahan baca entri merapu mahupun yang sedikit berilmiah dari aku. Semoga setiap dari kita bermanfaat kepada orang lain.

Be good, do good, stay good ya.
Keep moving and be happy.

Babai.

PTD: Temuduga

안녕하세요!

Berbaki 10 hari sebelum hari baru aku bermula, aku kena habiskan entri thread pasal PTD ni. Selalunya bulan 2 gitu, PTD M41 buka permohonan. Maka aku mahu beri gambaran dan sedikit semangat pada yang berminat memohon nanti.
_

Penantian panjang selepas PAC menjelma jua. 02 Oktober 2019, panggilan temuduga mula masuk ke dalam email masing-masing. Group Whatsapp mula meriah - aku join 5 group Whatsapp berkaitan PTD, bayanglah betapa meriah noti aku. Tp aku check email jam 2 pm, so orang lain dah habis debo, aku baru nak debo-debo bukak email. Fuhh, walaupun aku dah expect kegagalan di pihak aku, berdebo jugak nak tengok keajaiban. Ya Allah, aku menikmati keajaiban tu!!

Long story short, aku perlu ke SPA untuk ditemuduga pada 09 Oktober 2019 dan harunya aku demam kebah demam kebah sejak 07 Oktober. Nice timing! Maka dari TBS aku naik KLIA Express dan naik bas sangkut-sangkut ke bangunan SPA. Jumpa staff SPA, orang Muar dalam bas tu, akak tu tunjuk jalan sampai depan pintu masuk bangunan. Terima kasih banyak kak!

Macam biasa, bila tiba tang berpakaian formal, aku pilih lounge suit (blazer + seluar + blouse), kasut bertumit 2 inci. Sebab utama senang untuk aku bergerak. Sebab kedua, macam aku kata sebelum ni, aku ada masalah dalam menterjemahkan tips berbaju kurung. Aku tak pakai nametag masa tu walau nametag dah tersedia sejak PAC.
See my attire-look-like lounge suit. Bukan lounge suit pun.
2 inci yang bertukar slipper sejurus je sampai TBS. Gigih beli. Sakit kaki mak nok!
Dalam email tu dah siap-siap beritahu dokumen apa yang diperlukan untuk temuduga dan yang mesti diselesaikan sebelum temuduga. Ikut je arahan dia. Sahkan semua salinan yang berkenaan dan buat resume. Kemudian susun dokumen asal dalam fail ikut susunan senarai yang dinyatakan dalam email tu. Nanti masa pendaftaran pun pegawai urusetia akan beri checklist untuk kita susun dokumen macam mana. Ikut bulat-bulat.

Aku tak mesra alam untuk bersembang dengan pegawai urusetia pasal resume atau apa-apa, jadi aku memang tak tahu 5W1H untuk hari temuduga tu. Aku ada terbaca pengalaman orang, ada yang tanya kat pegawai urusetia tu; resume mana yang terbaik, cara pembahagian fail sijil yang terbaik. siapa panel dalam bilik temuduga dsb. Tapi, aku bukan sombong hokeh!

Waktu temuduga aku yang ditetapkan dalam email pukul 10 am, tapi sebab aku dah sampai 7.50 am, aku terus je mendaftar. Ingat cukup awal dah, sekali haa hambek, giliran ke 09 bilik H. Pukul 12.10 jugak baru masuk bilik temuduga tu. Muka pun dah nampak sememeh. Confirm! 
Resume bergambar yang diperlukan. Buatlah ikut stail yang korang minat.
Giliran dah banyak ni untungnya kita bolehlah dengar-dengar pengalaman calon yang keluar bilik temuduga tu. Macam-macam cerita ada - kita jadikan panduan dan pengajaran. Dalam bilik temuduga ada 2 orang panel sedia menunggu - seorang Dato', seorang dari SPA. So bersedialah kita dengan segala kemungkinan soalan yang akan ditanya.

Dalam kes aku, temuduga aku sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Lega betul rasa. Lepas tu penemuduga aku pulak jenis tak terlalu strict - iyaa, tapi tak strict mana pun penemuduga tu, jangan kau tayang loose personality sangat. Jaga formaliti dan beradab. Sebab kau diambil markah. Tapi tu lah tu, tahap tak strict aku sampai macam sembang kedai kopi.

1) 5 sebab nak kerja kerajaan

  • Aku jawab merapu 5 poin. Sekali tu, Dato' kata, "Bukan sebab nak berbakti pada negara?". Maigad, mati aku! Dengan tebal muka, aku balas lah; "Betul Dato', itu memang misi semua orang rasanya." *face palm*

2) Apa itu ASEAN dan sebutkan negara yang terlibat?

  • Ini kalau aku salah mau kena tampo dengan Papa J bila jumpa karang. So setakat 2019, ASEAN ni Association of South East Asian Nations dan ada 10 negara. Maka, senaraikan lah takyah ikut turutan tarikh kemasukan masing-masing. Ni Dato' siap tolong kira pakai jari. Alah comel je tauuu!

3) Hubungan Malaysia dengan China dan US?

  • Malaysia tak memihak pada mana-mana kuasa besar ni tapi hubungan baik yang kita ada menguntungkan negara kita. Dengan China, bagus untuk perdagangan. Dengan US, untuk bidang ketenteraan. Jadi, tiada sebab untuk Malaysia putuskan hubungan dengan China atau US. (Sepatutnya, perlu sediakan hujah berfakta/berstatistik. Tapi, seorang manusia yang dah rabak mengantuk macam aku tidak boleh fikir bernas pada hari kejadian.

3) Kalau dapat penempatan di Wisma Putra?

  • Jawapan cliche; saya tak kisah kalau bertugas di mana-mana kem pun. Tapi, saya prefer masuk Kem Tanah, Air dan Sumber Asli.
4) Eh, kalau ikut kos awak ni Wisma Putra lagi sesuai dengan awak. Memang kalau mohon, awak confirm diterima ni. Ramai orang aim Wisma Putra.
  • Tu orang lain Dato' (sambil tersengih. Dalam bilik temuduga tu, elok kau sengih je. Jangan gatal kau ketawa terbahak-bahak. Tapi, sebenarnya dalam bilik tu entah berapa kali aku terbabas gelak macam gelak dengan member). Saya lebih minat alam sekitar. Lagipun, dalam kos saya, kami boleh pilih apa yang kami nak fokus. Sebab tu tesis saya menjurus kepada alam sekitar, khususnya berkenaan jerebu di rantau Asia Tenggara.

4) Jerebu di Malaysia. Awak rasa macam mana kita nak atasi ya?

  • Memang mendapat! Siapa suruh sebut pasal jerebu? Aku bagi poin pasal akta jerebu yang kita tak jadi nak buat (guna poin-poin dari artikel my sifuhh, Dr Helena), bandingkan dengan Singapura yang dah ada. Walaupun belum ada bukti yg Singapura dah mula implimentasikan Akta Jerebu Rentas Sempadan (THPA) 2014 diorang atau sebenarnya dah ada, tapi aku tak tahu, sekurang-kurangnya nampaklah Singapura dah ambil langkah proaktif untuk atasi jerebu rentas sempadan, bermula dengan diri sendiri.
  • Secara peribadinya bagi aku, (aku sebut begini), kalau ada THPA sendiri, kita boleh plan kerjasama yang lebih teliti, langkah yang bersesuaian serta cara pencegahan yang tegas untuk kurangkan risiko jerebu rentas sempadan. Sebab kita ni walau dah ratifikasikan AATHP, kerana wujudnya sentimen ASEAN Way dalam kalangan ASEAN, tiada banyak yang mampu kita capai untuk atasi masalah ni.

Ada 2-3 soalan lagi berkaitan jerebu, tapi aku tak ingat spesifiknya apa.

5) Perhutanan di Malaysia.
6) Perjanjian Rio De Jenairo.
7) Contoh perdagangan yang berat sebelah dan membebankan Malaysia berkaitan alam sekitar.

Sejujurnya, 3 soalan akhir ni, aku tak dapat jawab sempurna. Tapi, aku masih cuba jawab dan aku mengaku pada mereka yang aku dah lama tak membaca skop hubungan antarabangsa. Maka, jawapan yang aku beri sekadar mana yang aku ingat. Dekat soalan akhir tu Dato' siap pesan; "nanti kalau awak masuk KATS, pastikan kita tegas halang negara-negara besar buat macam tu pada kita." Dan aku dengan bodoh-bodoh alangnya pergi menjawab; "Beres Dato'" sambil angkat ibu jari. Kau rasa? Pastu, dua-dua panel gelak berjemaah.

Aku keluar bilik temuduga dengan tiada pengharapan lulus tapi dengan sembangnya aku beritahu orang yang bertanya pada aku macam mana temuduga tu berjalan; Hahaha, senang je! Nampak macam aku belagak kan, tapi percayalah sejujurnya itu yang aku rasa. Berkat iringan doa yang lain, rezeki aku jumpa dan dapat penemuduga yang baik amat, tiada provokasi (mungkin ada tapi aku layankan je provokasi tu) tapi membantu.

Aku jalan balik ke bustop dengan satu perasaan halus yang beritahu aku boleh terus fokus dengan apa yang aku plan sekarang. Yelah, ada calon situ tolong kira waktu - 20 minit je weyy temuduga aku. Aku ada baca, kalau temuduga yang menarik dan kelihatan agak berjaya tu biasanya 30 minit ke atas. Huhu, entah apa yang disembangkan pun aku tak tahu. Cuma, aku lega sebab akhirnya aku mencuba juga.
Ni bangunan JPA. SPA di hadapannya.
Aku pun tak tahu apa motif aku amek gambar ni.
Aku tahu tiada yang bermanfaat sangat dalam perjalanan aku untuk bergelar kadet PTD ni. Tapi aku paparkan dalam entri-entri aku untuk beri bayangan pada yang berminat. Sekurang-kurangnya kalian akan lebih bersedia sepenuhnya mental dan fizikal. Ya, dari cerita aku ni, nampak sangat aku bless with luck everywhere, kan? Aku akui. Sebab tu, aku harap sangat kalian buat persediaan penuh. Please please, jangan sia-siakan peluang korang.
Playing tourist in Putrajaya. Naik bas hokeh pagi-pagi buta.
Jadi tempoh 30 hari dari tarikh akhir temuduga yang cecah sebulan jugak rasanya adalah tempoh menunggu. Dan aku kembali buat-buat sibuk dengan tugasan kerja dan langsung lupa dengan tempoh yang dijanjikan tu. 26 November 2019 - 3 hari lepas balik dari retreat company- sekali lagi noti Whatsapp aku sangat meriah. Baru aku sedar realiti tapi aku tengah sibuk handle apa tah masatu, so aku tak sempat nak check terus.

It was a jaw drop moment for meh bila aku nampak perkataan 'Lantikan Tetap' pada status permohonan aku dalam spa8i! Aku tak tahu nak bagi reaksi macam mana, sebab aku dalam ofis yang bos aku berada di hadapan mata aku, walhal dalam hati aku tengah berdegup kencang tahan teruja. Siap member tolong jerit untuk aku dalam fon weyyy! 

Maka demikianlah perjalanan syakinah untuk bergelar Kadet PTD 2020 ni. Tiada yang patut aku seronokkan apa yang aku dapat tanpa selainnya hasil dari doa semua orang yang aku tumpangkan doa, yang sudi mendoakan aku.

_

SM dan YL yang sentiasa dan tidak henti support aku,
Tashaa dan Baini yang setianya tarik aku sebab kerja aku nak duduk diam-diam je,
Semua yang sudi doakan aku,

Ini kalian punya. Aku perantara untuk menjalankan tugas. Terus doakan syakinah dapat menjalankan tugas tanpa culas dan penuh amanah. Semoga pahala dan kebaikan yang ada untuk kalian.

-
Semoga korang yang berminat nak mohon, korang tak tewas terlalu awal. Perjalanan panjang yang ada ni, hadaplah dengan gembira sebab ia adalah pengalaman. Kan pengalaman mendewasakan kita? Haa gitu!

Be good, do good, stay good tauu.
Babai.

Monday, January 6, 2020

PTD: Extra PAC

Takde apa pun. Ni cuma sambungan dari entri sebelumnya. Berkenaan PAC. Nak letak semua dalam satu entri, dah terlalu panjang nampaknya. Dah semua benda nak dicerita. Keh!

Untuk extra PAC ni, aku nak cerita pasal dokumen yang perlu dibawa dan ujian psikometrik.

Dokumen yang perlu dibawa dia dah maklumkan dalam email. Takdelah lost ke apa. Ikut je arahan.
  1. Surat panggilan cetakan emel atau cetakan di paparan Portal SPA jemputan menduduki PAC
  2. Salinan Asal Kad Pengenalan 
  3. Salinan Fotostat Transkrip dan Skrol Ijazah Sarjana Muda/Sarjana(Master)/Doktor Falsafah(PhD)
Untuk kesenangan korang, korang sediakan salinan yang dah siap disahkan. Sebab dalam email takde beritahu, tapi masa hari kejadian eh tiba-tiba dia mintak. Aku sebab ada budak-budak batch yang dah ingatkan awal-awal, aku sediakan salinan yang disahkan. Kalau tak disahkan, atas budi bicara pegawai, diorang akan mintak hantar dokumen tu esoknya. Tu atas budi bicara. Kalau jenis yang tegas, hmmmm.

Ujian psikometrik ni pulak dibuka sepanjang tempoh PAC berlangsung iaitu sebulan. Selepas habis je PAC, cepat-cepatlah korang buat ujian ni. Sebab takut lupa pulak kan. Dah naya! Ujian ni tiada betul tiada salah. Jawab berdasarkan apa yang berkaitan dengan apa yang kita rasa, apa yang kita buat. Jujur je. Sebab dari jawapan yang kita pilih ni, pastu aku Google apa kesannya, dia akan tunjukkan graf peribadi kita macam mana. Dari graf itulah kita turut ditapis ke peringkat berikutnya. Aku pun tak pasti secara details nya bagaimana, cuma dari kabo-kabo anginnya, begitulah dia.

Dah jawab ujian ni, okay. Settle. Tunggulah kita dengan penuh kesabaran dan debaran mengenai keputusan PAC. Kalau tak silap, 25 hari lepas tarikh akhir PAC tu barulah keputusan lulus ke temuduga diumumkan. Lama. Jadinya sila lalui hari anda macam biasa. Macam tiada apa berlaku.

Selamat menunggu ya kalian.
Semoga dipermudahkan segala urusan kita.

Babai

PTD: PAC

안녕하세요!

Peringkat 3 dalam temuduga PTD dah mula menjengah. Alhamdulillah, berkat doa orang lain pada aku, aku lulus ke PAC. Program Assesment Centre (PAC) ni aku gelarkan macam MUET Part Writing and Speaking. Ya, dalam PAC ni ada 3 bahagian yang bakal dinilai iaitu penulisan esei, pengucapan awam dan latihan dalam kumpulan. Aku tak sempat buat persediaan rapi apa pun sebab aku masa tu di puncak kesibukan ketara dengan tugasan kerja.
Di peringkat ini, dalam email dah start guna 'Kadet'. Nak beri gambaran rasanya, yang jauh lagi perjalanan nak jadi PTD ni.
2 hari sebelum ke PAC baru aku dapat curi baca sana sini untuk dapatkan idea. Nampak macam aku main-main dan tak serius kan? Hakikatnya aku cuba yang terbaik nak balance kan tugasan kerja aku dengan persediaan ke PAC. Dua-dua penting bagi aku. Jadi aku harap, aku dapat yang baik-baik untuk perkara baik yang mungkin aku ada buat. Hmmm.
Datang awal gais. Nanti dapat nombor cantik lagi. Tak percaya?
Untuk PAC ni, bahagian penulisan dan pengucapan awam, kita calon kadet ni diuji dalam 2 bahasa. Kau ada penguasaan 5 bahasa sekalipun, hanya BM dan BI sahaja yang akan diuji. 

Waktu bahagian ni, kita pakai baju formal ya korang. Aku pakai what-to-be-look-as lounge suit (blazer dan seluar) beserta kasut hitam bertumit 2 inci. Pakaian formal yang lain adalah baju kurung yang tidak berfesyen melampau. Tapi aku ada masalah nak menterjemahkan tips berbaju kurung dari orang lain, yang katanya baju kurung hendaklah tidak terlalu berbunga, bla bla bla. Maka sebab itu, aku pilih lounge suit. Senang!

Masuk dewan untuk bahagian penulisan, aku tengok calon lain buat persediaan nyata gais. Nyata maksudnya mereka ada buku tulis budak sekolah yang dalam tu tulis semua isi untuk topik yang mungkin keluar. Tak buku tulis, kertas timbun-timbun dalam pegangan mereka. Aku? Hanya pen hitam dan idea dalam kepala otak yang memang dah bercampur. Dah dapat dah tu poin nak nangis. Hahahaha.

Untuk penulisan esei BM, soalan haritu adalah 'nyatakan kebaikan kitar semula bahan kepada alam sekitar dan kehidupan manusia'. This is so PA STPM. So alhamdulillah, tak jadi nangis aku masa tu. Aku bagi 3 poin, pastu hurai ikut idea dalam kepala.
  • Melindungi sumber flora
  • Menambahkan pendapatan
  • Mengalakkan minda kreatif dalam kalangan rakyat
Untuk penulisan esei BI, soalan adalah berkenaan dengan merokok di restoran telah diban. Setuju atau tidak, bincangkan. Hmmmm, esei BI yang aku buat sangatlah individual oriented iaitu berdasarkan pada pandangan aku semata. Tiada fakta. Tiada huraian kukuh. Siap penutup akhir tu aku ada tulis; "In a nut shell, bla bla bla. This essay is based on my personal view without concrete facts. However, I strongly support when Malaysia has started to ban smoking in restaurant." Sebab aku tak prepare apa. So korang, please do your preparation well. Please please.
Haa, nah bukti! Buat semangat nak datang awal.
Habis jawab dua-dua esei, kita perlu gerak cepat ke kaunter pendaftaran untuk semak kumpulan kita bagi sesi pengucapan awam individu. Memandangkan aku berangka giliran no 1, semestinya aku kumpulan 1. Masa aku, 1 kumpulan 12 orang. Semua orang pakai nombor kan, jadi tak susah nak cari kumpulan. Siap semua ahli kumpul, kita cabut undi tajuk pengucapan awam BM dan BI. Untung yang nombor awal macam 001 ni, dapat cabut undi sebelum orang lain. Orang yang 012 misalnya, harus terima apa yang tinggal.

BM aku dapat tajuk peranan belia masa kini. BI pulak soalannya "Would you ever try online dating?". Awal-awal lagi dalam kepala aku letak idea - gila kau taknak cuba. Sambil nak gerak ke bilik yang ditetapkan, sempat kita nak Google idea. Sampai je bilik pengucapan awam, ketuk pintu dan masuklah bersama kumpulan. Dalam bilik tu ada 2 pegawai. Jangan risau sangat, senyum macam biasa. Nanti pegawai tu terangkan rules semua dan akan bagi masa 10 minit untuk kita buat persediaan.

Tips untuk pengucapan awam individu ni, tolong bawak bertenang. Bila bertenang, kita akan teratur susun ayat. Jadi nampak seolah-olahnya kita bersedia, yakin dan berstruktur dalam pengucapan kita. Laju-laju nak pi mana? Tak tahulah apa penilaian yang ditengok, tapi kalau dah laju sangat cakap, nampak kelam-kabut, kita logiklah, takkan kita dapat markah tinggi kan? Lepas tu, tambahlah dengan kreativiti sendiri nak tarik hati pegawai penilai tu. Bilik sebelah siap nyanyi lagu Hijau untuk tajuk 'sikap membuang sampah ke dalam longkang atau sungai.' Tapi, jangan terlebih masa. 5 minit je yang kita ada.

Walau kau tak berapa yakin nak cakap dalam BI, untuk PAC ni, cakap je lah. Broken English pun broken lah. Nak bagi bahasa pasar pun bagilah. Asalkan kau mencuba. Pegawai nak tengok kau yakin ke tidak, boleh bercakap atau tak. Takdenya di-check grammar kau. Member satu team tu pun takdenya nak gelakkan kau sebab masing-masing sedang dinilai keperibadiannya. So buat je.

Tips untuk perbincangan berkumpulan, tolong jangan jadi dominan. Tolonglah. Sama-sama bantu kawan sekumpulan sebab ini perbincangan berkumpulan. Kalau beria kau saja nak bercakap, ketahuilah bahawa kau dinilai berdasarkan poin yang kau utarakan serta attitude dalam perbincangan. Kematangan dan bernas adalah terbaik. Aku ni bukti nyata yang aku dapat bercakap hanya sekali untuk seminit dalam perbincangan berkumpulan BM sebab ada yang cuba jadi dominan. Satu minit untuk tempoh hampir 1 jam. Kau rasa? Aku pasrah bila sampai ke sudah aku takde peluang nak bercakap dah. Tapi percayalah, semangat aku jatuh.

Habis perbincangan BM terus rehat 2 jam, makan tengahari disediakan dan masa ni lah kita tukar pakaian sukan. Waktu ni kita perlu berbaju tshirt lengan panjang warna gelap dan track suit warna gelap. Berkasut sukan. Aku pakai tudung yang sama je sebab tudung aku warna merah hati - aku anggap gelap. Naik rehat, sambung perbincangan berkumpulan dalam BI.

Untuk BI, aku memang ada masalah nak bercakap depan orang. Walau selalu aku bebel dalam BI, tang nak kena bercakap depan orang, aku kalah. Lagi lepas tragedi dalam BM tadi, semangat aku dah tiada. Tapi aku bersyukur, seorang teammate aku ni, dia Indian, dia jadi moderator yang cemerlang untuk perbincangan kumpulan BI ni. Semua orang dia bagi peluang bercakap. Masih ada yang cuba jadi dominan tapi dia pandai kawal. Aku sangat hargai usaha dia. Semoga kebaikan sentiasa untuk dia.

Keluar je bilik lepas perbincangan BI nak ke sesi LDK, aku menangis gila-gila dalam hati. Yang kalau orang tegur, confirm pecah tubir air mata tu. Hmmmm. Sampai yang dengar, cuma sedu je. Aku WhatsApp family mintak sokongan, pasal aku koyak. Diorang mintak aku stay fokus last untuk LDK. So LDK ni dia nak tengok tahap kerjasama kita dengan kumpulan macam mana, kepekaan kita macam mana. 

Tapi sumpah aku koyak teruk, aku sampai sekarang aku tak faham function aku masa LDK haritu. Jurulatih akan bagi arahan, so kita follow arahan dia sebutir-sebutir. Dia mintak buat jambatan dalam  bulatan yang berdiameter 2 meter, setinggi 30 cm sepanjang 1 meter guna surat khabar. Tiada pembaris disediakan, hanya tali berukuran 1 meter diberikan sebelum dipulangkan beberapa minit kemudian. Lepas tu, aku tak tahu aku buat apa.

PAC ni habis pukul 4pm camtu. Dengan hati yang patah, aku tunggu Affin, member SL1M dan bekas partner badminton aku. Sebab kami dah janji nak lepak sama. Dia nampak bertapa down nya pada muka aku. Aku tak boleh sorok. Aku tak boleh simpan. Acik dengan Lin bagi support.

Muka koyak yang Affin bawak makan so dah okay. Pastu lepak sejam dengan Lin dan Acik sebab nak kejar bas balik BP. Thanks korang!
-

Terima kasih pada sorang member Sweatfitt yang mesej aku hal kerja pada hari kejadian. Tapi sebab hal kerja tu aku jadi okay sikit dan buat aku sedar aku ada tugasan yang menunggu. Sebab aku dah bulat hati tolak tawaran kerja tour guide tu. Nasib aku tak meroyan kat dia sekali. Huhu.

-
So korang, PAC ni dia nak nilai kita banyak perkara. Aku tak tahu secara detailnya apa tapi kematangan dan attitude paling utama dinilai. Ni yang senior cakap lah. Buat yang terbaik untuk diri sendiri tapi jangan tutup peluang orang lain. Sama-sama bertenang kan bagus.

Be good, do good, stay good yah?

Babai.


Next entri pasal PTD Level 4. Nah, usha sini // Previous entri pasal PTD Level 2. Nah, usha sini.

PTD: UKJK

안녕하세요!

Tanggal 27 Jun 2019, aku dapat email pemberitahuan yang aku kena hadir Ujian Kecergasan dan Jasmani Kebangsaan (UKJK) pada 10 Julai 2019. Ni maknanya apa? Ni maksudnya, kita lulus ke Level 2 dalam roadmap nak jadi Kadet PTD. Dan bagi aku, ni maksudnya aku mati kalau aku tak buat exercise. Sebab aku google UKJK ni buat apa je, pfttt aku awal-awal out kalau tak fit.

Dia takde letak waktu sampai pukul berapa kan? Maksudnya sampai siap lah ujian tu.
Maka, setiap hari lepas balik kerja aku dalam persalinan baju sukan, aku pi joging kat padang UTHM. Mula-mula tu sukati akulah aku nak joging berapa lama, berapa banyak pusingan. Aku takde misi selain sekadar nak bagi badan aku tak terkejut. Masa kat SL1M tu kan setiap petang main badminton, pastu masuk tempat baru stop terus. Ni start balik, hasilnya kaki aku cramp dan lutut aku sakit macam orang tua. Seminggu sakit pastu badan dah start biasa. Masuk fasa 2 exercise tu aku dah mula fokus pada bleep test. Biasalah kelaut. Sampai hari nak test tu aku dah redha dah apa nak jadi pun jadilah.

Untuk senarai dokumen yang diperlukan, takde banyak pun. Dalam email dah sebut cuma nak:

i) Cetakan emel panggilan ke UKJK
ii) IC. Aku bawak ori dan salinan yang disahkan. Jauh kot aku nak patah balik kalau diaorang mintak salinan. Tapi tak, diorang perlukan yang ori sahaja.

Aku giliran ke 9 dari beratus orang yang datang. Datang laa awal gaiss. Nanti dapat nombor cantik.
Untuk UKJK ni, ada 5 ujian kecergasan terlibat. Setiap satu ujian itu ada markah tersendiri. Makin bagus perform, makin tinggilah markah. Nanti markah 5 ujian ni dia kumpul pastu baru dapat keputusan kita lulus tak UKJK ni.

1) Kiraan BMI, Blood Pressure dan Nadi. 

Ni macam biasalah, dia nak yang BMI normal. Aku alhamdulillah dah capai normal sejak masuk kerja tempat baru. Tapi, masa aku test takde pulak calon yang disuruh balik pasal BMI tak normal. So tak tahulah apa jadi kalau BMI ni tak normal.

Blood pressure ni dia nak tengok kita ni ada rasa berdebar ke jumpa MA kacak ada masalah kesihatan berkaitan ke tak. Aku tak pernah-pernah umur bacaan tekanan darah aku 150. Terkejut nurse yang check aku. Aku apatah lagi. Tapi lepas 10 minit bawak bertenang kat tepi sambil isi borang, alhamdulillah kembali normal bacaan tu. Borang yang kena isi tu borang kesihatan. Isi je mana yang berkaitan. Jangan tipu.

2) Ujian Genggaman Tangan.

Ujian ni nak tengok kekuatan gengaman tangan kita. Tak pasti untuk apa. Jadi, exercise yang aku buat, aku senggayut kat monkey bars. Nak tampung berat sendiri kan bagi taknak jatuh, nampaklah jugak hasilnya dalam mengenggam tu. Hari ujian tu nanti dia suruh kita genggam tangan kat satu alat ukur. Genggamlah sekuat hati. Bacaan genggaman aku 40. Makin tinggi bacaan kita tu makin lah bagus.

3) Duduk dan Jangkau.

Yang ni pulak nak tengok badan kita ni fleksibel ke tak tahap kelenturannya. Ni senang je. Duduk elok pastu tolaklah pengukur sejauh mungkin. Tulang aku dah keras takdenya dah lentur ke hapa. Hasilnya bacaan aku hanyalah 28cm. What kina? Hmmmm.

4) Sit up.

Selain lari, ini jugak aku praktis paling banyak. Tapi yang aku praktis full sit up. Hampir menghembuskan nafas terakhir jugak buat full sit up. Rupanya gais rupanya partial sit up je iaitu bangun sikit je untuk pastikan jari kita cecah garisan kedua. Rekod aku untuk ini adalah 40 kali dalam 1 minit. Nak gila jugak lah masa ni. Terima kasih sangat kat jurulatih yang amek markah aku masa tu, push aku untuk terus buat.

5) Bleep Test 20 Meter.

Bahagian ni yang paling mencabar semua calon terutamanya aku. Dengan pasrah dan redha tahu aku level mana, aku cuma aim buat yang terbaik je. Dan seperti dijangka aku sekadar cecah Level 2 Stage 7. Padahal level ada 7, stage ada 8. Aku serius tak mampu dah nak paksa diri.

Siap je Bleep Test tu kita boleh balik. Aku pukul 11 pagi dah keluar dari PLPP tu sambil mengenang kehebatan 2 calon lelaki yang sampai Level 7 dalam Bleep Test tadi. Bukan kaleng-kaleng.

Aku akhiri UKJK ni dengan feeling tak best sebab nampaknya sangatlah tak perform. Aku macam biasalah berdrama dalam group family. Sedih sangat rasa, aku terus gerak pi KLIA2 untuk taklimat akhir jawatan tour guide yang aku ada cerita haritu, sedangkan plan asal taknak pun pergi. Melayang RM50 untuk PLPP-KLIA2 padahal halah dekat je kot.

-

Terima kasih untuk tim Sweatfitt sebab bagi aku cuti masa ni walau cuma HR je tahu sebab aku cuti.

-
Jadi korang yang dapat UKJK ni, buatlah persediaan semampunya korang. Buat yang terbaik. Tapi paling utama, jaga keselamatan masa exercise. Bila injured masa exercise, takde guna dah.

So yeah, be good, do good, stay good okay.

Babai.


Next entri pasal PTD Level 3. Nah, usha lah. // Previous entri pasal PTD Level 1. Nah, usha lah.

PTD: Online Public Service Entry Exam

안녕하세요!

Permulaan entri perjalanan menjadi Kadet PTD aku mulakan dengan peringkat pertama. Mudahnya orang panggil, exam online. Ni step pertama. Maka, kalau korang tak mohon online kat SPA, korang memang tak dapatlah panggilan untuk menduduki peperiksaan online ni. Secara rasminya, nama jawatan ini; Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41. Ingat dan mohon okay!

Tahun 2018, SPA tak bukak jawatan ni kalau aku tak silap. Kalau aku silap, jawatan ni ada bukak tapi aku yang tak mohon. Dah namanya exam, memang macam-macam soalan ditanya. Ringkasnya, PTD exam ni ada 3 bahagian. Seksyen A; Pengetahuan Am, Seksyen B; Daya Menyelesaikan Masalah (Matematik), Seksyen C; Kefahaman BI.

Nampak waktu dia macam lama kan? Jangan tertipu gais jangan sesekali tertipu.
Contoh 1: Tengok sini
Contoh 2: Tengok sini pulak
Contoh 3: Tengok lah sini

Kredit: Semua posting yang disertakan di atas adalah hak asal penulis terlibat. Aku sekadar berkongsi post mereka kerana aku menggunakan post berkenaan sebagai latihan latih tubi selama 1 hari sebelum hari exam. Kah!

Bagi aku, soalan dia tak terlalu susah. Cuma, masa. Ya masa sangat mencemburui kita bila kita jawab soalan tu. Banyak woo! Lagi-lagi Seksyen B, pernyataan masalah dia panjang panjang panjang tapi jalan kerja nak dapat jawapan tu sikit je. Pastu ada soalan yang complicated tang ayat tapi sebenarnya nak tengok kita faham tak logik dalam ayat tu. Aku siap lukis gais. Iya, lukis tapi takdelah lukis gambar cantik-cantik. Hmmmm. Tu yang tak sempat jawab semua soalan. Separuh jalan je aku dah start jadi Einstein, tengok soalan terus pilih jawapan. HAHAHA!

Atas meja aku masa exam tu, ada laptop, kalkulator, recycle A4 paper (konon go green), pensil dan pen. Serta sehelai sticky note aku tampal kat laptop "Sorry for incoveniences. She's on exam. Don't disturb." Sebab aku amek exam dalam waktu kerja.

Keseluruhannya, Seksyen A dan Seksyen C, kita dah boleh jangka skop soalan macam mana. Jadinya takde lah isu sangat. Tapi Seksyen B ni ramai risau. Dan ramai percaya, kat seksyen ni lah kecundangnya mereka. Apa yang aku boleh cadangkan, buat latih tubi sikit untuk elak terkejut sambil-sambil refresh dengan formula asas matematik Form 4 Form 5 yang kita pernah belajar. Percayalah, soalan dia tak susah, cuma masa tu memang lah... hmmm.

Tips lain yang aku boleh bagi;

1) Tak payahlah beli "buku panduan peperiksaan PTD M41" yang jual online tu. Google je contoh soalan exam PTD. Ada ada. Bazir tau kalau beli. Aku pernah beli "buku panduan peperiksaan Penolong Pegawai Tadbir N29", ada rasa sikit menyesal sebab apa yang ada dalam buku tu, takde pun dalam soalan. Tapi sebab kadangnya pengalaman tu perlu dibayar, takdelah menyesal banyak. Aku gagal exam tu pun bukan sebab buku tu tapi sebab line aku disconnected sampai habis exam.

2) Banyakkan baca berita berkaitan Malaysia sebab soalan Seksyen A fokus Malaysia dan yang berkaitan dengannya. Kau tahu perkataan 'lepa' dalam Regatta Lepa tu bawak maksud apa? Tahu matlamat Piala AIRMARINE 2019 diadakan? Weyyy, AIRMARINE tu aku baru je dengar hari exam tu tau! 

3) Pastikan line internet stabil. Ni paling perlu diutamakan pada hari kejadian. Aku sebab dah ada pengalaman N29 tu, aku memang seriau. Line internet aku beli data harian untuk pastikan tragedi tu tak berulang.

4) Sediakan alat tulis yang diperlukan awal-awal atas meja. Tak sempat dah korang nak bangun duduk bangun duduk nak amek barang. Tolonglah percaya.

5) Bawak-bawak bertenang. Bila kita tenang, kita akan dapat fikir rasional. Kita pun takdelah gelabah sangat.

-

Terima kasih pada Lisa dan Mas sebab bagi pinjam kalkulator saintifik selama 2 hari. Kalkulator Lisa aku habiskan baterinya pada hari latih tubi, jadi terus usha Mas nak pinjam kalkulator untuk hari exam.

Terima kasih pada TNB Research dan Smart Grid Unit sebab bagi masa untuk aku jawab exam tanpa gangguan.

-

Semoga urusan korang untuk jawab exam PTD M41 ni dimudahkan dan korang lulus untuk peringkat berikutnya. Amin!

Be good, do good, stay good okay?

Next entri aku pasal PTD Level 2. Nah, usha lah.


Saturday, January 4, 2020

Puzzle 2; Penyambung.

안녕하세요!

Selamat tahun baru 2020. Selamat menyediakan senarai azam untuk dicapai walau ada azam lepas yang dah masuk kotak angan. Takpe, senaraikan je baru. Kita cuba capai tahun ni ya.

Azam aku yang berjaya dicapai tahun lepas cuma turun berat je gais. Yang lain semua reset untuk dicapai tahun ni. Tapi baru aku perasan, majoriti azam aku melibatkan costing yang banyak. Sebab tu lah tak berjaya dicapai 2019. Yelah, 2019 ni baru tahun kedua jadi pekerja. Jadi pekerja ni aku lagi miskin dari zaman belajar. Kah! Maka, tahun ni kita plan elok sikit, Disember nanti kita tengok berapa banyak dah capai.


Aku memang suka drama kat caption.

2020 ni aku akan mulakan cerita baru di tempat baru. Mixed feeling betul rasa - teruja, takut, tak percaya - semua sibuk nak jadi dominan dalam diri aku sekarang. Ingat seronok lepak ramai-ramai agaknya. 

Aku lulus interview Kadet PTD dan bakal melapor diri pada 19hb nanti. Satu perjalanan yang aku tak pernah impikan, cuma aku tahu keadaannya sebab aku selalu rasakan kemustahilan yang ada. Aku sedar kemampuan aku dan buat aku jadi tak percaya dengan diri aku. Lebih-lebih lagi zaman belajar. Aku over put UM pada tahap tertinggi yang aku masuk atas dasar nasib dan tempias doa orang lain. Aku over adore orang lain yang masuk UM sampai aku selalu lupa yang aku pun belajar setempat dengan diorang. Macam tak logik kan? Tapi itu yang aku rasa. 

Dekat kelas aku tu cuma ada 3 orang je yang percaya dengan aku saat orang lain macam ye tak ye tengok aku. Ada, yang lain ada yang tak menjatuhkan aku, cuma 3 ni paling sibuk support aku. Jangan mintak aku kira berapa banyak kalinya diorang kata kat aku; "Kau boleh lah, Kina!" bila aku cakap, aku tak boleh. Sebab 'aku tak boleh' yang ada dalam kepala aku ni lah aku banyak mengemis doa dari semua orang. Jadi memang aku tahu, aku bernasib baik dapat survive sampai grad hasil doa orang keliling aku.
Surprisingly, 3 manusia ni selalu bilang; "Hey kau boleh!" pada aku, dengan mat sorang tu paling mulut puaka maki aku lepas bilang kata-kata semangat. Tapi, diorang baik gila pada aku.

Untuk Kadet PTD ni pun, jangan mintak aku tips apa. Sesungguhnya aku betul-betul tak tahu apa yang aku buat selain macam biasa, clan SM yang kalau aku tak paksa pun memang dah doakan aku selalu, seluruh Yusuff Legacy aku kerah doa untuk setiap level temuduga aku, tumpang kirim doa pada orang yang sudi mendoakan. Sungguh, aku terlalu bawah untuk lepas setiap ujian dalam perjalanan menjadi kadet. Perjalanan panjang, memenatkan tapi insyaAllah memberikan satu pengalaman.

Ada 4 peringkat yang perlu dilalui untuk jadi Kadet PTD. Dari Kadet PTD ni lah nanti kita akan ditauliah menjadi PTD. 

1) Online Public Service Entry Exam
2) Ujian Kecergasan dan Jasmani Kebangsaan
3) PTD Assesment Centre (PAC) + Ujian Psikometrik
4) Temuduga

Lulus 4 peringkat ni barulah kita akan ditawarkan untuk mengikuti Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) selama 10 bulan. Lulus kriteria yang ditentukan kemudiannya melayakkan kita dipertimbangkan menjadi PTD. Dan berbaki 14 hari ni aku banyak prepare mental aku dengan tonton video kursus batch-batch lepas, membaca balik nota IR (paling taf ni), sedangkan aku usha member batch ni sibuk prepare fizikal diorang. Aku tahu fizikal aku mampu, yang aku kurang tahan ni mental. Sebab aku pegang kata Dr SMS; What your mind believe, your body can achieve. Maka, memang aku kena bina mental aku lah kan?

Nanti, kalau aku rajin, aku share setiap peringkat kat atas tu ya. Oh salah satu azam aku tahun ni, aku nak update blog secara berkala supaya aku dapat tolong orang yang memerlukan. Dalam konteks aku, mereka yang bertanya berkenaan maklumat yang aku kongsi dalam blog ni. 2018 & 2019 adalah sejarah aku yang tak efisien. Aku mintak maaf korang kerana tak dapat membantu banyak.

I wish you good luck and all the best.
Keep moving.
Be good, do good, stay good.